Resepi Nasi Lemak Dan Juga Rahsia Sambal Tumis IKan Bilis Yang Padu

by - Saturday, July 10, 2021

Resepi Nasi Lemak Dan Juga Rahsia Sambal Tumis Ikan Bilis Yang Padu | Wah dengar tajuk dah rasa tak sabar nak tahu apa resepi rahsia Nasi Lemak ni kan. 

Biasanya bila kita makan nasi lemak sambal tumis yang sedap dan padu (gabungan rasa dari segi pedas, masam, masin manis nya)  tu yang penting. Nasi itu sendiri perlu ada rasa dan aroma memikat baru terangkat bila makan. 

Pendek kata kalau nasi lemak ni, boleh makan kosong je kalau nasi dia dah sedap.

Kat Malaysia ni, jangan kata orang Melayu bangsa bangsa lain pun dah jadi "favourite" diorang nasi lemak ni. Kalau dulu nasi lemak hanya makan dengan sambal tumis, tapi sekarang dah macam macam lauk dia orang pelbagaikan untuk makan dengan nasi lemak. 

Masa makan pula tak hanya waktu sarapan pagi sampai ke tengah malam pun ada restoran yang hidangkan masakan nasi lemak sekarang ni.

Kali ni sis nak kongsi satu lagi resepi yang sis belajar daripada "my mother in law" yang dulu masa muda muda memang beliau ada berniaga di warung menjual makanan. 

Sampai ade yang minta nak beli sambal tumis tu je. Ah.. power tak power sambal tu. Sebelum ni sis ada kongsi resepi Mee Rebus Johor juga resepi asal daripada MIL juga.

Jom kita tengok apa resepi rahsia dalam sambal nasi lemak yang membuatkan ia menjadi kegilaan masa my MIL berniaga dulu. Sehingga sekarang pun kalau balik kampung kitorang memang suka sangat dengan hidangan nasi lemak dari MIL sebab lengkap dengan aroma dan juga rasa dia cukup sempurna.



Hari ini sis masak bahan hiasan tambahan kita ikut apa yang ada je dalam peti ais. Maka, takde lah timun atau kacang. Makan pulak dengan ayam goreng berempah memang tak toleh kiri kanan. 

Biasa kalau masak nasi lemak memang sampai ke petang berulang makan. Jimat masa masak. Satu hari satu jenis lauk sahaja.

Jom sama sama semak resepi dan cara memasak nasi lemak step by step di bawah ni.
Bahan bahan untuk nasi lemak :-

4 cawan beras. (sis guna beras basmathi)
6 cawan santan Pekat + Cair
(nisbah kalau masak nasi 2 cawan santan 4 cawan)
(nisbah kalau masak nasi 5 cawan santan 7 cawan)
Kalau beras jenis tak banyak pakai air kurangkan 1 cawan santan
Daun Pandan 2-3 helai
Halia dalam 2 inci

Bahan bahan untuk sambal ikan bilis :-

* Sukatan sambal ikan bilis ini untuk 4-5 orang makan, kalau nak masak banyak gandakan bahan cuma jangan lebih sangat halia dan kunyit.
1 biji bawang besar *
6 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia* (optional- taknak letak pun takpe rasa lebih kurang sama)
1 inci kunyit hidup/serbuk*
(inilah bahan rahsia nak bagi sedap kena letak kunyit sedikit dalam sambal tumis ikan bilis kita)
1 inci belacan * (kalau elergik takyah letak pon takpe)
Ikan bilis segenggam untuk kisar sekali*
Ikan bilis 1 mangkuk untuk goreng garing.
Cili kisar 7 sudu besar.
1/2 buku gula melaka.
2 keping asam gelugor.

Cara Masak Nasi Lemak :-
Mula mula sekali basuh dan bilas beras hingga bersih. Kemudian tapis dan ketepikan dahulu.
Masukkan 6 cawan santan ke dalam periuk.Ini sukatan untuk 4 cawan beras basmathi yang sis guna. Kalau nak masak 3 cawan beras lebihkan santan 2 cawan. Untuk beras biasa boleh kurangkan santan sebab takut nasi terlalu lembik.

Nisbah 4 cawan beras : 6 cawan santan
Nisbah 2 cawan beras : 4 cawan santan



Kemudian masukkan 2 helai daun pandan yang diikat dan juga halia. Kalau minat nak letak sedikit halba boleh juga. Tapi disebabkan anak anak tak suka biji biji halba tu maka takdelah sis letak. Resepi asal pun memang MIL tak letak halba.

Masak atas api santan tadi sehingga naik wap dan santan sudah mendidih sedikit. Tujuannya adalah untuk nasi kekal tahan lama.
Jangan tinggalkan santan ni, kena kerap kacau.Kalau tidak ia akan pecah minyak.

Bila sudah mula berwap dan mula nak mendidih masukkan beras yang sudah di tapis tadi.
Boleh terus masak atas api atau masukkan ke dalam rice cooker.

Sambal Tumis Ikan Bilis


Cara Masak Sambal Tumis Ikan Bilis:-
Ikan bilis dalam mangkuk di goreng garing terlebih dahulu. Ketepikan
Bahan yang bertanda * di atas semua di kisar kalau rajin boleh di tumbuk. Bila tumbuk sambal tumis jadi lebih sedap. Tapi memang tak berapa rajin maka kisar sahaja.
Tumis semua bahan kisar tadi sehingga naik bau dan masukkan pula cili kisar sebanyak 7 sudu.kalau nak lebih boleh juga.
Kacau hingga sambal tumis hampir garing. Masukkan air supaya tak terlalu pekat.
Kemudian masukkan gula melaka, asam gelugor, ikan bilis goreng tadi dan kacau hingga pecah minyak.

Akhir sekali masukkan garam dan bahan perasa kalau suka.
Jika nak sedikit berkuah tambahkan air dan masak hingga pecah minyak. Penting hingga pecah minyak nak pastikan sambal garing dan sedap.

Selamat mencuba. Terima kasih melawat ke blog ini.

Video lengkap ada di sini :-



You May Also Like

0 comments